Sunday, 2 December 2012

KEADILAN (1/1)

Print Friendly Version of this pagePrint Get a PDF version of this webpagePDF


Takrifan Mudah

Dalam pemahaman ramai umumnya termasuk golongan ‘baru’, mereka sudah masak dengan kefahaman bahawa makna ‘ADIL’ ditakrifkan dengan maksud  sama rata, sama banyak atau sama-sama seimbang. Takrifan ini merupakan takrifan mudah untuk difahami.

Contohnya dalam bab pembahagian dua puluh empat (24) meter kain diantara Ali, Abu, Ahmad, Ah Meng, Ah Chong dan Gopal :
Kain = 24 meter
Ali, Abu, Ahmad, Ah Meng, Ah Chong, Gopal : 6 orang
Pembahagian = 24/6
Satu (1) orang = 4 meter


Takrifan Menurut Islam

Dalam Islam, adil adalah ‘meletakkan sesuatu bersesuaian  pada tempatnya. Bukan bermaksud sama banyak atau sama rata atau seimbang dalam semua perkara.

Contohnya dalam bab aurat :
Islam menetapkan had aurat yang wajib ditutup bagi wanita lebih banyak dari lelaki, sesuai dengan kejadian ciptaannya. Allah menjadikan mereka ini cantik dan indah sehingga boleh menarik perhatian kaum lelaki, maka bermakna wanita adalah barang mahal dan berharga yang tidak boleh sesuka hati ditonton oleh sesiapa sahaja melainkan orang-orang yang tertentu yang dikhaskan iaitu suami dan ahli keluarga. Maka, wanita dipelihara oleh Allah dengan aurat yang agak lebih sedikit dari lelaki. Inilah Islam yang meletakkan sesuatu aturan sesuai dengan fitrah kejadian manusia kerana Allah yang lebih berhak tahu tentang keperluan makhluk yang Dia sendiri ciptakan.



Takrifan Dalam Fiqh dan Hadis

Dalam ilmu fiqh dan hadith, makna adil berbeza pula.

Fiqh : Apabila disebut seorang saksi kes zina dalam Islam hendaklah saksi yang adil. Maka makna adil dalam konteks Fiqh adalah :

“ saksi yang tidak fasiq iaitu hidup melakukan dosa besar. Maka saksi yang fasiq tidak sah dan tertolak menurut pandangan Islam kerana mana mungkin orang yang hidup dalam dosa besar muncul untuk menjadi saksi dalam perkara melibatkan dosa besar juga. Sudah tentu soal kepercayaan terhadap mereka ini, boleh dipertikaikan.

Hadith : Antara sebab hadith itu menjadi sohih adalah kerana perawinya bersifat adil. Maksud perawi yang adil dalam Ilmu Hadith sama sahaja seperti adil dalam bab Fiqh, cuma ada sedikit tambahan iaitu :

“ mengerjakan suruhan dan taat kepada Allah, tidak melakukan dosa besar, menjauhi perkara yang boleh merosakkan iman (aqidahnya) , tidak mengikut mana-mana hadith yang bertentangan dengan syara’, menjaga maruah baik dari segi syara’ mahupun adat “

Adil dalam hadith juga adalah perawi hadith itu tidak termasuk difitnah atau dituduh dengan 5 perkara ini :

a) berdusta, fasiq, jahil dan bid’ah.
b) Bergaul dengan sahabat-sahabat yang tidak bermaruah (berakhlak).
c) Keterlaluan dalam bergurau senda.
d) Membuang air ditepi jalan.
e) Makan di jalanan (kedai-kedai)

Adil disalah takrif

Melalui takrifan di atas jelas membawa maksud bahwa erti adil yang sebenarnya adalah meletakkan sesuatu pada tempatnya dan bukanlah bermaksud sama rata. Natijah dari kesilapan memahami makna ‘adil’ ini, akhirnya muncullah persepsi salah mengerti seperti yang berlaku dewasa kini.

Agama Islam adalah agama yang bersifat al-Adalah iaitu adil kepada semua golongan tanpa mengira kaum, bangsa, budaya dan warna kulit. Dalam masa yang sama, ada pula pihak yang cuba menggunakan konteks ini dalam memutarbelitkan erti kata sebenar maksud adil itu sendiri. Mereka cuba mengaitkan konsep adil ini dengan isu kaum dan bangsa . Lebih malang lagi, ramai yang tidak melihatnya dari sudut luar kotak sehingga menyebabkan ramai yang buta malah lebih malang lagi pekak dan bisu.

Contohnya kes mudah :
Bab pembahagian dua puluh empat (24) meter kain diantara Ali, Abu, Ahmad, Ah Meng, Ah Chong dan Gopal :

KIRAAN 1 :
Kain = 24 meter
Ali, Abu, Ahmad, Ah Meng, Ah Chong, Gopal : 6 orang
Pembahagian = 24/6
Satu (1) orang = 4 meter

Jika diadili berdasarkan takrifan yang mudah yakni sama rata, satu (1) orang akan memperolehi empat (4) meter kain.

KIRAAN 2 :
Kain = 24 meter
Ali, Abu, Ahmad = 3 orang = Melayu
Ah Meng, Ah Chong = 2 orang = Cina
Gopal = 1 orang = India
Pembahagian = 24/6
Satu (1) orang = 4 meter

Jika diadili berdasarkan takrifan sama rata tetapi memperincikan perbedaan kaum, bangsa dan warna kulit, hasilnya akan diperolehi seperti di bawah :

YANG PADA KEBIASAANNYA :
Satu (1) orang = 4 meter
Melayu (Ali/Abu/Ahmad) = 3 orang x 4 meter = 12 meter
Cina (Ah Meng/Ah Chong) = 2 orang x 4 meter = 8 meter
India (Gopal) = 1 orang x 4 meter = 4 meter

Hasilnya, Melayu = 12 meter kain / Cina = 8 meter kain / India = 4 meter kain

YANG SALAH :
Kain = 24 meter
Bangsa = 3 (Melayu/Cina/India)
Pembahagian = 24/3
Satu bangsa = 8 meter kain

Hasilnya, setiap bangsa akan memperolehi 8 meter kain. Daripada 8 meter kain yang dibahagikan, dibahagikan pula mengikut perorangan, yakni :

Satu bangsa = 8 meter kain
Melayu (Ali/Abu/Ahmad) = 8 meter kain / 3 orang = 2.6667 meter setiap orang
Cina (Ah Meng/Ah Chong) = 8 meter kain / 2 orang = 4 meter setiap orang
India (Gopal) = 8 meter kain / 1 orang = 8 meter seorang

Hasilnya, akan memperlihatkan ketidak adilan dalam pembahagian walaupun cara kiraannya nampaknya adil.
 
KIRAAN 3 :
Jika diadili berdasarkan takrifan meletakkan sesuatu pada tempatnya pula, yang mana ianya lebih terperinci dengan tambahan syaratnya enam (6) orang ini adalah orang islam dan dua puluh empat (24) meter kain merupakan sedekah.

Pembahagian dua puluh empat (24) meter kain sedekah diantara Ali, Abu, Ahmad, Ah Meng, Ah Chong dan Gopal.

Antara Ali, Abu, Ahmad, Ah Meng, Ah Chong dan Gopal :

Siapakah diantaranya adalah dari orang Islam yang tediri daripada golongan fakir atau miskin atau amil atau mualaf atau ar-Riqab atau Raaghimin atau Fii Sabilillah atau Ibnus Sabil ?

Jika semuanya sudah kaya raya / mampu memperoleh sendiri = Semua tidak dapat, perlu dicari yang lebih memerlukannya
.... dan seterus-seterusnya.

Jika diambil contoh enam (6) orang ini sahaja yang ada di dunia semuanya cukup lengkap segalanya, semuanya sama dan saksama, tetapi tetap hendak dibahagikan (tidak dibahagikan dikhuatiri akan lusuh, reput lalu membazir), perlu pula dilihat mana satukah diantaranya berjantina lelaki atau berjantina perempuan, mana satu pula yang berbadan gempal atau berbadan kurus?

Kebiasaannya perempuan yang berbadan gempal mestilah memerlukan kain yang lebih untuk cukup dihasilkan baju untuknya. Perempuan yang berbadan kurus pula memadailah menerima kain secukup layaknya kain tersebut cukup untuknya menghasilkan baju. Perempuan pula lebih layak menerima meter kain melebihi lelaki.

KESIMPULAN

Takrifan adil berdasarkan contoh kes, kiraan di atas, lebih membuka ruang untuk pembaca berfikir bagaimana dan apa yang dimengertikan dengan adil tersebut. ‘Tepuk dada tanya selera’.

Agaknya, bagaimana keadaan orang biasa yang terlalu mempertikaikan soal adil ini, lalu diberi orang itu untuk membahagikan sesuatu, apakah kesudahannya? Jawapan yang ternyata pasti, ‘Betullaa... Susah Nak Berlaku Adil.’ serta akan lahir pula suara-suara kedekut dan tidak tahu bersyukur ‘Mana adil macam ni?’ dan pelbagai suara-suara sumbang yang lain berkumandang serta menyakitkan seperti gambaran di sebelah, orang tua dan keldai. ‘Rambut sama hitam, hati lain-lain’

Masalahnya, kita selalu membuat perbandingan dengan orang yang lebih tinggi darjatnya dari kita sehingga kita melihat kekurangan pada diri kita lalu mengambil jalan singkat mentakrifkan dan melabelkan mereka yang tinggi darjatnya ini zalim dan jahat. Jika kita membuat perbandingan keadaan diri kita dengan orang yang lebih rendah darjatnya atau yang lebih daif, kita akan mendapati diri kita telah dikurniakan rezeki yang melimpah ruah lalu kita akan lebih bersyukur dengan nikmat yang telah diberiNya.
  
Moralnya bersyukurlah dengan apa yang telah diterima kini. Alhamdulillah...
 
 

No comments:

Post a Comment